Friday, June 22, 2012

Briged Bestari Sekolah


Konsep
Briged Bestari merupakan suatu badan penggerak yang mempunyai kepakaran ICT, berketerampilan, bertanggungjawab dan berintegriti dalam kalangan murid sekolah dan berperanan sebagai pemangkin pembudayaan ICT di sekolah. Kemenjadian murid ini adalah hasil pelaksanaan Program Pembestarian Sekolah yang dilaksanakan dengan terancang dan bersepadu. Kelompok murid elit ini menjadi agen tranformasi dan kelestarian pembestarian sekolah.

Rasional
Penubuhan Briged Bestari perlu dilaksanakan di semua sekolah bagi menjadi pemangkin kepada matlamat menggunakan ICT sebagai pengupaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Briged Bestari merupakan penggerak yang membantu   mempercepatkan pembudayaan ICT di sekolah melalui perkongsian kemahiran ICT dan penyebaran ilmu pengetahuan serta kepakaran bidang ICT kepada warga sekolah dan masyarakat umum.

Matlamat
Briged Bestari ditubuhkan bagi membantu sekolah membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran abad ke-21, bertanggungjawab dan berdaya tahan untuk mencapai matlamat Pembestarian Sekolah.

Objektif
  1. Membentuk wadah perkongsian ilmu, minat dan kepakaran dalam menggunakan aplikasi dan perkakasan ICT di sekolah.
  2. Menjadi agen penggerak membantu kelancaran pelaksanaan Program Pembestarian Sekolah.
  3.  Meningkatkan kemahiran ICT serta keyakinan diri dalam kalangan ahli Briged Bestari seiring dengan perkembangan ICT terkini.
  4. Memberi peluang kepada murid berkongsi kemahiran  dan seterusnya menyebar ilmu kepakaran mereka dalam bidang ICT kepada warga sekolah.
  5. Melahirkan murid digital natives yang berketerampilan dan berintegriti.
Fungsi
Fungsi utama Briged Bestari menjurus kepada aspek-aspek berikut;

Membimbing rakan sebaya dalam penggunaan aplikasi dan perkakasan ICT di sekolah.

Membantu menyelesaikan masalah teknikal asas (simple troubleshooting) semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Membantu menyebarkan maklumat terkini berkaitan Pembestarian Sekolah.

Membantu kelancaran program ICT di sekolah.

Membantu merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti berteraskan ICT.

Kompetensi ahli Briged Bestari
Ahli Briged Bestari disarankan menguasai kompetensi:
  1. Interaksi Maya
  2. Enjin pencarian
  3. Penggunaan Bahan Digital Pendidikan
  4. Aplikasi Pemprosesan Kata
  5. Aplikasi Hamparan Elektronik
  6. Aplikasi Persembahan Elektronik
  7. Aplikasi Multimedia
  8. Aplikasi Grafik
  9. Aplikasi Laman Media Sosial
  10. Aplikasi Pembangunan Laman Web, Blog
  11. Aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah Bestari
  12. Pembelajaran Maya
  13. Kesedaran Keselamatan (Siber, Aplikasi, Peralatan)
  14. Penyelenggaran asas perkakasan ICT

No comments: